Popular Posts

Sunday, July 24, 2016

Radio Amatur Dan Spanar Hidup

Masyarakat kurang didedahkan dengan apa itu maksud radio amatur yang juga dikenali sebagai ham radio. Amatur yang juga kata lawan bagi profesional bukanlah bermaksud tidak kompeten. Amatur yang dimaksudkan membawa maksud bukan berniat menjana duit secara lansung dalam perbuatan. Sebagai perbandingan, dalami maksud juruvideo amatur dan juruvideo profesional.

Radio amatur sudah lama wujud dan telah terbukti banyak membantu pihak profesional dan pentadbir negara dalam pertolongan komunikasi terutama ketika bencana. Sebut saja gempabumi, tsunami, ribut katrina, mesti ada cerita yang menerangkan penglibatan radio amatur ketika itu. Jika bercakap tentang Malaysia, sejarah akan menceritakan penglibatan radio amatur ketika banjir, tanah runtuh dan juga gempabumi.

Radio amatur sering dikaitkan dengan hobi. Tetapi bagi sesetengah individu, radio amatur bukan sekadar hobi atau mainan. Bak kata radio amatur di Amerika, ham radio always work, ham radio saves live. FEMA dan juga tentera di Amerika mengiktiraf radio amatur di sana sebagai kelompok individu yang meminati komunikasi menggunakan gelombang radio yang boleh membantu mereka jika perlu. Sebab itulah wujud SKYWARN net dan juga military auxiliary radio system.

MARS merupakan satu program yang ditaja oleh department of defense bagi mengumpulkan operator radio amatur dari kalangan tentera yang masih berkhidmat, tentera dari pasukan simpanan, pengawal pantai dan juga mereka yang bekerja di NOAA. Kekuatan MARS lebih dari 5000 orang terbukti sangat membantu jika diperlukan. Jikalau tidak membantu, kenapa harus DOD terus menaja mereka?

Radio amatur sentiasa bersedia. Radio amatur selalunya sentiasa dalam keadaan siap siaga. Assisted net yang dikawal oleh satu stesen controller sentiasa diadakan di frekuensi frekuensi amatur sebagai satu langkah persiapan dan juga latihan apabila berlaku bencana dan kecemasan. Segala peralatan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa demi mengelakkan proses bantuan komunikasi gagal atas faktor teknikal. Amalan percakapan yang jelas, tidak meleret dan straight to the point adalah menjadi satu tuntutan ketika terlibat dalam komunikasi bantuan bencana harus dipraktikkan dalam perhubungan sehari harian.

Pelbagai mod diujikaji. Selain dari mod suara, mod mod lain juga diterokai oleh radio amatur. Mod CW dan digital menjadi pilihan bagi mereka yang kurang gemar bercakap tetapi jika keadaan memaksa, radio amatur harus tahu menyesuaikan diri dengan apa jua mod. Prosidur perlu dipatuhi supaya tidak mengelirukan penerima, merumitkan keadaan dan yang paling teruknya menjadi budaya dan ikutan mereka yang kurang membuat rujukan.

Radio amatur sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Radio amatur sentiasa mengikuti perkembangan dalam dan luar negara. Radio amatur merupakan satu komuniti yang kukuh dan berhubung antara satu sama lain tidak mengira negara. Apa saja berita yang patut dikongsi akan menjadi tajuk perbualan ketika berhubung atau QSO. QSO tidak terhad kepada perhubungan ketika di udara sahaja. Istilah eyeball QSO disebut bagi membawa maksud perhubungan ketika bersemuka. TT atau tango tango bukan istilah yang digunapakai oleh generasi terdahulu dalam radio amatur.

Perhubungan melalui penggunaan repeater. Radio amatur mendapat kebenaran menggunakan frekuensi amatur setelah lulus ujian yang telah ditetapkan. Walaupun radio amatur wujud hampir di seluruh dunia, ujian radio amatur berbeza mengikut negara. Tertakluk kepada kehendak kerajaan tempatan. Penggunaan repeater bukan satu satunya cara untuk radio amatur berhubung. Terdapat banyak lagi kaedah untuk perhubungan jarak jauh seperti satelit, pantulan gelombang ke bulan, HF atau radio over internet protocol.

Radio amatur adalah hobi bercakap menggunakan radio. Radio amatur sebenarnya bukan sekadar menggunakan frekuensi untuk semata mata bercakap. Radio amatur menggunakan frekuensi untuk eksplorasi dan eksperimen sebagai contoh, eksperimen menghasilkan antenna atau eksplorasi memahami apa itu maximum usage frequency. Kedua eksperimen ini memerlukan kebenaran untuk menggunakan frekuensi bagi tujuan untuk memancar bagi menentukan teori atau hipotesis pada awal eksperimen itu betul atau tidak.

Radio amatur tidak mengasah minda. Radio amatur bukanlah ruang di mana ilmu dan pengetahuan disuap oleh seorang individu yang dibayar oleh kerajaan tempatan. Radio amatur sebaliknya adalah sebuah perpustakaan yang memerlukan individu berusaha berjalan kaki ke perpustakaan, mendaftar sebagai ahli supaya dapat menggunakan kemudahan yang ada di perpustakaan, menerokai ke setiap segmen dan sudut dan mencari sendiri tajuk buku yang diminati satu persatu.

Ada ketikanya ilmu yang diperolehi dirasakan tidak berguna tetapi dalam dunia yang serba moden ini. Tiada perkara yang wujud tanpa penerangan secara teknikal dan logikal. Telefon pintar dan komputer tidak akan beroperasi dengan sendirinya tanpa bekalan kuasa. Jika kita merasakan persekitaran dan kehidupan kita bukanlah suatu yang teknikal, kenapa ramai memilih untuk membeli telefon pintar bermemori 3 GB sedangkan ada telefon pintar bermemori 1 GB?

Sebuah spanar hidup mampu membuka dan mengetatkan pelbagai saiz nat. Jangan sempitkan minda pada satu saiz nat sahaja kerana dunia radio amatur ini luas dan mampu mengubah cara kita berfikir.

73 de 9M2PJU




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...