Total Pageviews

Popular Posts

Wednesday, August 17, 2016

Radio Amatur Dan Kecemasan

Pada zaman ini, ramai orang menceburkan diri dalam dunia radio amatur bagi tujuan komunikasi kecemasan. Terdapat 2 maksud bagi frasa tersebut. Pertama, komunikasi bagi tujuan membantu ketika seseorang di dalam kecemasan dan yang kedua adalah bagi tujuan komunikasi untuk diri sendiri ketika berada di dalam situasi yang cemas dan ketika medium komunikasi lain tidak dapat berfungsi.

Radio amatur secara umumnya tidak boleh berkomunikasi dengan jenis perkhidmatan lain seperti FRS atau CB radio. Walaupun semua jenis komunikasi ini boleh digunakan oleh semua orang tanpa sebarang ujian atau peperiksaan, seseorang operator radio amatur yang ingin berkomunikasi dalam jalur komunikasi tersebut haruslah memenuhi piawaian yang ditetapkan dan juga memiliki peralatan yang sah untuk tujuan komunikasi tersebut. Sebagai contoh, batas kuasa yang telah ditetapkan kepada CB radio harus ditepati.

Mari kita huraikan kembali apa itu situasi kecemasan. Pertama, seseorang operator radio amatur boleh menggunakan sebarang jenis komunikasi radio bagi tujuan untuk memberikan bantuan awal kecemasan yang melibatkan nyawa, harta benda ketika jenis-jenis komunikasi lain tidak dapat digunakan.

Kedua, seseorang operator radio amatur yang berada di dalam situasi kesakitan, kecederaan, penderitaan akibat sesuatu bencana atau kemalangan boleh menggunakan apa jua cara untuk menarik perhatian supaya diberikan bantuan.

Ketiga, seseorang operator radio amatur yang sedar dan mengetahui akan keadaan pihak kedua yang berada di dalam kesusahan boleh membalas panggilan tersebut dan membuat panggilan kepada pihak ketiga demi mendapatkan bantuan kepada orang yang berada di dalam kesusahan itu. Walaupun ianya melibatkan penggunaan frekuensi di luar jalur amatur.

Tetapi,  masih terdapat beberapa perkara lain yang harus difikirkan. Untuk menyelamatkan nyawa seseorang, tidak semestinya anda perlu mendapatkan bantuan kepada pihak tersebut melalui komunikasi radio. Sebaliknya, jika ada cara lain yang lebih berkesan dan jika kita mempunyai sistem komunikasi alternatif lain yang lebih berkesan, lebih baik terus dail nombor 999 dan berikan segala maklumat yang anda dapat kepada pihak berkenaan. Sama juga jika anda sedang monitor di frekuensi HF marin. Jika anda terdengar panggilan "mayday, mayday", jangan terus gelabah untuk menjawab panggilan tersebut kerana kemungkinan besar anda akan mengganggu kapal lain atau agensi/polis marin yang sedang cuba untuk berhubung dengan stesen tersebut. Dengar dahulu, jika tiada sebarang pihak yang cuba berhubung dengan stesen tersebut, barulah boleh untuk berhubung dengan pihak yang di dalam kecemasan itu.


Larangan Kepada Operator Radio Amatur

Tahukah anda, radio amatur dilarang untuk membuat broadcasting? Ini bermaksud, radio amatur dilarang dari membuat pemancaran dengan niat supaya isyarat tersebut dapat disampaikan kepada umum termasuk bukan operator radio amatur tidak kira secara lansung atau tidak lansung.  Dalam kata lain, radio amatur tidak dibenarkan untuk membuat transmisi satu hala seperti juruhebah.

Radio amatur tidak dibenarkan untuk berkomunikasi dengan stesen yang bukan dari kalangan operator radio amatur kecuali jika menjawab panggilan kecemasan. Perlu diingat, panggilan satu hala seperti CQ, QST atau transmisi telemetri bukanlah satu perbuatan broadcast kerana panggilan CQ tersebut adalah berniat untuk memanggil, menyebarkan maklumat kepada mana-mana stesen radio amatur yang ingin menerima isyarat tersebut dan bukan berniat untuk didengari oleh umum. Jika minat anda adalah untuk menjadi juruhebah atau DJ pada gelombang radio, maka radio amatur bukanlah untuk anda. Anda mungkin perlu memohon untuk menjadi DJ di lapangan yang lain. Sebagai contoh, di pasaraya EconSave.

Sama juga dengan muzik, transmisi muzik juga dilarang. Jika anda berniat untuk membuat pemancaran muzik pada gelombang radio maka radio amatur bukanlah tempatnya. Penggunaan kod, sifer atau enkripsi yang beserta dengan niat untuk menyorok maksud sebenar maklumat itu juga dilarang dan radio amatur dilarang sama sekali membuat panggilan palsu seperti contoh panggilan kecemasan palsu atau panggilan dengan menggunakan callsign orang lain. 

Radio amatur dilarang menggunakan kata-kata lucah, sumpah seranah atau kata-kata kesat di udara. Oleh itu harus diingat, setiap maklumat seperti nama penuh seseorang operator radio dapat dibaca oleh semua orang dengan hanya mengakses ke pengkalan data radio amatur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tuesday, August 09, 2016

Echolink Dan QRM

Terdapat beberapa isu dalam radio amatur dalam masa terdekat pos ini ditulis. Saya cuba huraikan isu-isu ini dan beri pendapat mengikut pemahaman saya dalam radio amatur khususnya.
Isu pertama adalah echolink menyebabkan man made noise atau interference. Sebelum itu mari kita bincang, apa itu Echolink?

Echolink adalah sistem voice over internet protocol yang dibina oleh seorang operator radio amatur dari Amerika iaitu K1RFD bertujuan untuk memudahkan perhubungan dan sambungan ke node dari RF repeater atau simplex RF gateway kepada dengan Echolink client menggunakan internet sebagai medium. Ada 2 mod pengoperasian Echolink iaitu user mode dan juga sysop mode. Sysop mode memerlukan interface ringkas bagi menyambungkan di antara perkakas Echolink kepada transceiver untuk membolehkan pengguna yang bersambung kepadanya membuat pemancaran RF. Client Echolink boleh didapati untuk perkakasan yang berasaskan Android, Windows, Mac OSX dan juga iOS. 

Echolink client adalah percuma dan boleh dipasang pada komputer peribadi atau telefon pintar dengan hanya perlu validation ringkas (cuma perlu scan dan upload AA). Selain dari memudahkan user mode client untuk membuat pemancaran RF melalui Echolink gateway, Echolink juga boleh digunakan sebagai broadcaster untuk isyarat RF ke internet bagi tujuan memudahkan pengguna mendengar perbualan di repeater tanpa menggunakan RF receiver. 

Interface yang menyambungkan sysop mode Echolink ke transceiver mempunyai sambungan yang terdiri dari audio in, audio out dan juga PTT. Untuk memudahkan pengguna Echolink di seluruh dunia supaya dapat mendengar perbualan pada repeater RF tanpa menggunakan radio adalah cukup mudah dengan hanya menala transceiver kepada frekuensi output dari repeater dan menyambungkan output audio transceiver ke input soundcard komputer yang beroperasi dalam sysop mode. Tak perlu sambung output audio dari soundcard komputer ke transceiver dan tiada interference akan berlaku kerana tiada kawalan PTT melalui sambungan serial komputer dan sudah tentu pengguna tidak dapat memancar ke repeater. Terdapat banyak lagi fungsi dalam Echolink terutama untuk mengurangkan chain effect jika bersambung ke repeater.

Persoalan sekarang ini adalah, adakah Echolink mampu memberikan interference kepada repeater ? YA sudah pasti jika ianya tidak dikawalselia dengan betul tetapi periksa dahulu Echolink yang bersambung kepada sesebuah repeater, apakah mod pengoperasian, bagaimana sambungan, siapa penyelia dan lain-lain. Jangan terus menuduh Echolink bersalah. Siasat dahulu sesungguhnya Echolink sangat memudahkan perhubungan dengan memanfaatkan internet sebagai medium tambahan. Walaupun QSO melalui Echolink tidak diiktiraf sebagai 100% RF tetapi seluruh dunia mengakui bahawa Echolink memudahkan cara berkomunikasi di kalangan operator radio amatur.  Sesiapa sahaja boleh menyebarkan komunikasi operator radio amatur pada medium lain dan tiada batas penerimaan isyarat dari operator radio amatur ataupun repeater radio amatur. Komunikasi operator radio amatur tidak boleh dirahsiakan tetapi operator radio amatur harus menyimpan rahsia komunikasi pihak lain terutama pihak keselamatan. Perbualan atau isyarat dari operator radio amatur tidak boleh disorok dan dienkrip. Itu adalah peraturan dalam radio amatur. Tiada perbualan melibatkan kod atau bahasa rahsia.

Jika terdapat interference pada sesebuah repeater, lebih baik siasat dahulu punca dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan supaya tiada berlaku sebarang kekacauan kepada atau dari sumber lain. Sebelum membuat kenyataan bahawa Echolink memberikan interference, lebih baik kita ambil tahu dahulu apa itu Echolink dengan cara memasang dan menggunakan sendiri Echolink untuk tujuan pembelajaran.