Popular Posts

Sunday, July 24, 2016

Radio Amatur Dan Spanar Hidup

Masyarakat kurang didedahkan dengan apa itu maksud radio amatur yang juga dikenali sebagai ham radio. Amatur yang juga kata lawan bagi profesional bukanlah bermaksud tidak kompeten. Amatur yang dimaksudkan membawa maksud bukan berniat menjana duit secara lansung dalam perbuatan. Sebagai perbandingan, dalami maksud juruvideo amatur dan juruvideo profesional.

Radio amatur sudah lama wujud dan telah terbukti banyak membantu pihak profesional dan pentadbir negara dalam pertolongan komunikasi terutama ketika bencana. Sebut saja gempabumi, tsunami, ribut katrina, mesti ada cerita yang menerangkan penglibatan radio amatur ketika itu. Jika bercakap tentang Malaysia, sejarah akan menceritakan penglibatan radio amatur ketika banjir, tanah runtuh dan juga gempabumi.

Radio amatur sering dikaitkan dengan hobi. Tetapi bagi sesetengah individu, radio amatur bukan sekadar hobi atau mainan. Bak kata radio amatur di Amerika, ham radio always work, ham radio saves live. FEMA dan juga tentera di Amerika mengiktiraf radio amatur di sana sebagai kelompok individu yang meminati komunikasi menggunakan gelombang radio yang boleh membantu mereka jika perlu. Sebab itulah wujud SKYWARN net dan juga military auxiliary radio system.

MARS merupakan satu program yang ditaja oleh department of defense bagi mengumpulkan operator radio amatur dari kalangan tentera yang masih berkhidmat, tentera dari pasukan simpanan, pengawal pantai dan juga mereka yang bekerja di NOAA. Kekuatan MARS lebih dari 5000 orang terbukti sangat membantu jika diperlukan. Jikalau tidak membantu, kenapa harus DOD terus menaja mereka?

Radio amatur sentiasa bersedia. Radio amatur selalunya sentiasa dalam keadaan siap siaga. Assisted net yang dikawal oleh satu stesen controller sentiasa diadakan di frekuensi frekuensi amatur sebagai satu langkah persiapan dan juga latihan apabila berlaku bencana dan kecemasan. Segala peralatan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa demi mengelakkan proses bantuan komunikasi gagal atas faktor teknikal. Amalan percakapan yang jelas, tidak meleret dan straight to the point adalah menjadi satu tuntutan ketika terlibat dalam komunikasi bantuan bencana harus dipraktikkan dalam perhubungan sehari harian.

Pelbagai mod diujikaji. Selain dari mod suara, mod mod lain juga diterokai oleh radio amatur. Mod CW dan digital menjadi pilihan bagi mereka yang kurang gemar bercakap tetapi jika keadaan memaksa, radio amatur harus tahu menyesuaikan diri dengan apa jua mod. Prosidur perlu dipatuhi supaya tidak mengelirukan penerima, merumitkan keadaan dan yang paling teruknya menjadi budaya dan ikutan mereka yang kurang membuat rujukan.

Radio amatur sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Radio amatur sentiasa mengikuti perkembangan dalam dan luar negara. Radio amatur merupakan satu komuniti yang kukuh dan berhubung antara satu sama lain tidak mengira negara. Apa saja berita yang patut dikongsi akan menjadi tajuk perbualan ketika berhubung atau QSO. QSO tidak terhad kepada perhubungan ketika di udara sahaja. Istilah eyeball QSO disebut bagi membawa maksud perhubungan ketika bersemuka. TT atau tango tango bukan istilah yang digunapakai oleh generasi terdahulu dalam radio amatur.

Perhubungan melalui penggunaan repeater. Radio amatur mendapat kebenaran menggunakan frekuensi amatur setelah lulus ujian yang telah ditetapkan. Walaupun radio amatur wujud hampir di seluruh dunia, ujian radio amatur berbeza mengikut negara. Tertakluk kepada kehendak kerajaan tempatan. Penggunaan repeater bukan satu satunya cara untuk radio amatur berhubung. Terdapat banyak lagi kaedah untuk perhubungan jarak jauh seperti satelit, pantulan gelombang ke bulan, HF atau radio over internet protocol.

Radio amatur adalah hobi bercakap menggunakan radio. Radio amatur sebenarnya bukan sekadar menggunakan frekuensi untuk semata mata bercakap. Radio amatur menggunakan frekuensi untuk eksplorasi dan eksperimen sebagai contoh, eksperimen menghasilkan antenna atau eksplorasi memahami apa itu maximum usage frequency. Kedua eksperimen ini memerlukan kebenaran untuk menggunakan frekuensi bagi tujuan untuk memancar bagi menentukan teori atau hipotesis pada awal eksperimen itu betul atau tidak.

Radio amatur tidak mengasah minda. Radio amatur bukanlah ruang di mana ilmu dan pengetahuan disuap oleh seorang individu yang dibayar oleh kerajaan tempatan. Radio amatur sebaliknya adalah sebuah perpustakaan yang memerlukan individu berusaha berjalan kaki ke perpustakaan, mendaftar sebagai ahli supaya dapat menggunakan kemudahan yang ada di perpustakaan, menerokai ke setiap segmen dan sudut dan mencari sendiri tajuk buku yang diminati satu persatu.

Ada ketikanya ilmu yang diperolehi dirasakan tidak berguna tetapi dalam dunia yang serba moden ini. Tiada perkara yang wujud tanpa penerangan secara teknikal dan logikal. Telefon pintar dan komputer tidak akan beroperasi dengan sendirinya tanpa bekalan kuasa. Jika kita merasakan persekitaran dan kehidupan kita bukanlah suatu yang teknikal, kenapa ramai memilih untuk membeli telefon pintar bermemori 3 GB sedangkan ada telefon pintar bermemori 1 GB?

Sebuah spanar hidup mampu membuka dan mengetatkan pelbagai saiz nat. Jangan sempitkan minda pada satu saiz nat sahaja kerana dunia radio amatur ini luas dan mampu mengubah cara kita berfikir.

73 de 9M2PJU




Saturday, July 23, 2016

Hakikat Penglibatan Dalam Radio Amatur

Saya perhatikan majoriti pemula dalam dunia radio amatur sekarang bukan bermula dari shortwave listening. Kebanyakan generasi baru bermula dari sudut yang lain berbeza dengan generasi sebelumnya. Pada zaman dahulu, tiada kemudahan internet, tiada siaran television satelit, kurang hiburan, kurang kemudahan lain dan juga populasi manusia juga tidak seramai sekarang. Dulu dan kini sangat berbeza.

Pada zaman dahulu, shortwave radio menjadi pilihan kerajaan untuk menyampaikan berita dan maklumat kepada rakyat. Penyiaran pada MW dan SW boleh mencapai satu keluasan sebuah negara kecil. Walaupun kualiti audio yang tidak sesedap WFM di VHF, tetapi sudah mencukupi untuk pendengar umum.

Jika ditanya kepada generasi lama, ada di antara mereka suka mendengar siaran radio shortwave dari Malaysia, Amerika, China, UK dan juga dari Indonesia. Voice of Amerika terkenal dengan doodle song sebagai intro. Jika anda tidak percaya, cuba tanya mereka tentang SW, mesti ada banyak cerita yang akan dikongsi.

Dari radio shortwave kepada radio amatur. Bermula dengan mendengar frekuensi penyiaran dan jalur-jalur radio amatur, mereka mula mengorak langkah dalam dunia radio amatur dengan mendapatkan kebenaran dan callsign untuk menggunakan frekuensi.  Ada yang membina transmitter sendiri. Berbekalkan commercial sw radio dan homemade transmitter dan simple wire antenna, satu kepuasan yang tak terhingga diperolehi. Penerokaan demi penerokaan diteruskan sehingga ke saat ini. Cabaran dan dugaan berbeza dengan zaman sekarang sehinggakan nak dapatkan segulung kabel coaxial pun susah. Kedai eletronik berdekatan menjadi tumpuan. Begitulah secara ringkasnya.

Di dalam dunia yang serba digital sekarang ini, teknologi analog masih digunakan secara meluas. Oleh kerana kos yang rendah berbanding digital, ianya menjadi pilihan dan masih menjadi produk terutama bagi negara yang masih membangun. Era komputer, telefon pintar dan internet mendekatkan masyarakat dengan dunia siber yang penuh dengan ilmu pengetahuan dan tidak kurang juga dengan kemusnahan. Kewujudan media sosial dan medium perhubungan melalui internet memudahkan perbincangan. Panggilan video membolehkan pemanggil dan penerima melihat antara satu sama lain. Gambar dan video mudah dikongsi bersama. Telefon pintar boleh mengambil gambar pada resolusi yang tinggi. Sekali tekan, gambar yang diambil terpampang pada skrin telefon. Berbeza dengan zaman dahulu. Kamera berfilem negatif memakan masa untuk diproses. Ambil gambar hari ini mungkin minggu depan baru boleh tengok hasilnya. Sama juga dengan video. Ambil video hari ini mungkin berbulan bulan baru dapat tengok. Filem perlu dihantar ke syarikat pemprosesan dan adakalanya perlu dihantar ke luar negara.

Di dalam radio amatur malaysia, masih ramai golongan operator-operator lama yang masih aktif. Bermacam-macam aktiviti yang mereka lakukan untuk kekal dalam radio amatur walaupun sudah kurang minat untuk ke udara. Ada yang mengikuti perkembangan secara pasif, mendengar perbualan stesen radio amatur luar negara, mendengar perbualan radio amatur tempatan di VHF dan banyak lagi.

Pada masa kini, jika diperhatikan di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, kebanyakan mereka yang menceburkan diri dalam dunia amatur bermula terdiri dari beberapa kumpulan:-

Kumpulan kereta/4x4/konvoi/marshall. Kumpulan ini meminati acara yang melibatkan penggunaan kenderaan seperti long distance konvoi, bantuan kenderaan kecemasan, 4x4 extreme challenge. Mempunyai lebih dari satu minat selain dari radio. Menggunakan kereta atau 4x4, suka aktiviti luar rumah dan mengambil berat akan kelancaran sesuatu konvoi dengan mencari inisiatif perhubungan menggunakan radio. Minat mereka juga tidak terbatas kepada aktiviti berkenderaan sahaja, ada yang minat kepada fotografi, memancing, eletrik dan eletronik dan juga aktiviti sosial yang lain.

Kumpulan geek/techie/hacker. Kumpulan ini mempunyai asas yang kukuh di dalam dunia perkomputeran. Selalunya mereka juga menyertai kumpulan berasaskan komputer yang lain tetapi masih meminati teknologi perhubungan menggunakan radio atas sebab peribadi. Kebanyakkan mereka selalunya up-to-date dengan teknologi dan pandai menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang melibatkan radio dan komputer.

Kumpulan bekas operator komersil/militari. Kumpulan ini pula terdiri dari bekas operator radio tentera, polis atau syarikat perkapalan. Golongan ini mempunyai asas yang kukuh sebagai seorang operator radio. Namun di dalam radio amatur, ada banyak lagi cabang yang perlu dilihat. Bukan sekadar bercakap di udara.

Kumpulan pekerja sektor industri eletrik/eletronik. Golongan ini cekap dalam pengiraan dan teori yang melibatkan eletrik seperti beban, pembumian, galangan dan juga rintangan. Mereka juga mahir menggunakan komputer dan juga alat-alat penguji yang lain. Pengalaman yang lama di dalam sektor ini mampu mengekalkan mereka di dalam dunia radio amatur kerana semuanya berkait di antara satu sama lain.

Kumpulan cikgu/pengakap. Kumpulan ini kebiasaannya bukanlah cikgu yang biasa. Mereka mempunyai minat yang lain selain dari mengajar subjek asas pendidikan di institusi pengajian. Mereka boleh menerima perubahan dan sanggup bekorban demi kelansungan aktiviti pengakap yang melibatkan radio seperti jamboree on the air. Manakala bagi pengakap pula, rata-ratanya mempunyai minat dalam dunia pengakap yang banyak mengajar mereka sejak dari kecil. Mengenali radio amatur hasil dari tunjuk ajar cikgu cikgu semasa aktiviti radio di dalam pengakap. Mereka juga mempunyai minat yang lain seperti mendaki gunung, memancing, berbasikal dan lain lain.

Kumpulan rukun tetangga/unit ronda kawalan kampung. Kumpulan ini biasanya didedahkan dengan penggunaan radio sebagai medium perhubungan semasa bertugas menjaga keamanan setempat. Bermula dari handytalkie, kemudian menjejakkan diri dalam dunia radio amatur dan mengenali aktiviti aktiviti radio yang lain.

Kumpulan peminat bantuan perhubungan kecemasan. Atas sebab sebab tertentu, ada individu terdiri dari peminat komunikasi kecemasan atau bencana ini menceburkan diri dalam radio amatur. Ada juga dikalangan mereka yang pernah menjadi sukarelawan ketika bencana. Ada di antara mereka yang mempunyai kenderaan 4x4 bersama peralatan bantuan yang siap sedia untuk digunakan apabila perlu.

Kumpulan pembina/hobi eletronik. Peminat hobi eletronik ini selalunya mempunyai pengalaman dan mahir dalam kerja kerja tangan. Apa jua perkara yang melibatkan eletronik, akan mereka terokai. Dari kerja kerja pembaikian tv, radio, mereka melangkah ke satu dunia yang lebih luas penggunaan eletronik iaitu radio amatur. Selalunya mereka juga mahir dalam penggunaan komputer dan alat alat penguji.

Kumpulan peminat aktiviti outdoor/survival/pendaki bukit. Kumpulan ini rata ratanya adalah pencinta alam sekitar dan meminati ilmu ikhtiar hidup. Penggunaan radio sebagai medium perhubungan semasa membuat aktiviti sangat menyenangkan dan kos nya yang murah berbanding telefon satelit. Mereka juga selalunya mempunyai peralatan yang cukup untuk bermalam semasa menjalani aktiviti outdoor. Ilmu ikhtiar hidup dan radio amatur jika digabungkan dapat memberi kepuasan dan sangat berguna ketika berlakunya bencana.

Kumpulan cendiakawan/pemikir. Kumpulan para pemikir selalunya banyak ilmu dan rata ratanya adalah seorang yang genius sejak dari kecil. Mereka bijak mencari rujukan dan selalunya mereka jugalah orang di mana orang lain merujuk. Setiap tutur kata dan penulisan dari mereka adalah berharga dan mengikut logik akal. Penglibatan dari kumpulan ini amat diperlukan.

Sebenarnya terdapat banyak lagi kumpulan yang melibatkan diri dalam radio amatur atas sebab sebab tertentu.  Terlalu banyak untuk ditulis namun ianya bukan menjadi satu sempadan atau batu penghalang untuk kita sama sama berdiri teguh dalam dunia radio amatur. Minat yang berbeza beza sepatutnya memberikan kita peluang untuk sama sama berkongsi ilmu dan pengalaman. Ada ilmu yang boleh digunapakai dalam radio amatur dan ada juga yang boleh diserapkan ke dalam kehidupan.

Dunia radio amatur adalah lapangan yang luas untuk menimba ilmu. Oleh kerana latarbelakang mereka yang menceburi diri dalam radio amatur ini berbeza beza, maka penuh ilmu yang bewarna warni di dalamnya. Lapangan radio amatur merupakan medium bersosial antara yang tertua di dunia selain dari pen dan kertas. Generasi terdahulu berkongsi idea dan pengalaman di ruang udara sebelum kewujudan internet lagi. Pelbagai eksperimen dibuat hasil dari usaha radio amatur dan hasilnya diadaptasikan ke dalam penggunaan kita sehari harian.

Rujuklah pada mereka yang berada dibidang yang sebenar isi soalan itu diajukan. Tanyalah kepada mereka yang mengetahui. Di zaman yang serba moden ini ada banyak rujukan yang boleh dibuat. Buku eletronik, media sosial, perpustakaan maya dan forum forum perbincangan berlambak di dunia maya. Biasakan membuat rujukan dan kerja rumah sendiri dan jika tiada jawapan yang memuaskan, rujuklah kepada mereka yang mengetahui.

Radio amatur mendekatkan di antara 2 darjat. Yang lama dan yang baru, yang tahu dan yang tak tahu, yang miskin dan yang kaya, pemerintah dan masyarakat dan pemimpin dan pelaksana. Tiada kasta di dalam radio amatur cuma hormat menghormati yang dituntut. Bukankah itu ajaran semua agama?

Umpama sebuah tukul. Ianya boleh digunakan untuk membina rumah sebagai pelindung untuk manusia dan ianya juga boleh digunakan untuk menghancurkan sebuah rumah. Buka minda dan hati. Terimalah kenyataan dan hadamkan hakikat, semuanya di depan mata.

73 de 9M2PJU

Friday, July 22, 2016

Repeater dan Radio Amatur

Penggunaan repeater merupakan satu aktiviti yang sering menjadi pilihan bagi mereka yang mula menceburi di dalam dunia radio amatur. Aktiviti beramah mesra, berkenal-kenalan juga sering berlaku di repeater.  Dengan hanya menggunakan handy talkie 5 watts dengan antenna rubber duck, selalunya repeater mudah dicapai jika tiada halangan pada line of sight. Di Malaysia, terdapat banyak repeater VHF dan juga UHF. Ada yang standalone dan ada juga yang bersambung dengan repeater lain (linked). Repeater meningkatkan kualiti perhubungan dan memanjangkan jarak perhubungan. Penggunaan repeater daripada sebuah kenderaan yang bergerak juga menyeronokkan. Dapat berbual semasa memandu boleh mengurangkan sedikit tekanan ketika berada di dalam kesesakan. Repeater juga mampu memberi kesan WOW kepada orang awam yang rata-ratanya beranggapan komunikasi menggunakan handytalkie adalah terhad. Antara soalan lazim yang sering ditanya oleh masyarakat bila melihat sebuah handytalkie adalah, "berapa batu jauh benda ni boleh digunakan untuk bercakap?".

Sebelum menggunakan repeater atau mencelah masuk perbualan yang berlansung, ada baiknya jika kita mendengar dulu untuk beberapa minit supaya tidak berlaku pertindihan, kekacauan dan juga ketidakpuasan pihak yang sedang menggunakan repeater terutama jika sesebuah repeater itu sedang digunakan untuk komunikasi bantuan kecemasan. Jika ada stesen yang menggunakan repeater, perhatikan callsign-callsign mereka yang juga bulatan pertukaran yang telah dibuat. Jika topik yang dibualkan bukan menjadi perhatian kita, tak perlu untuk mencelah masuk kecuali jika ada sebarang kemusykilan atau soalan yang ingin diajukan. Bagi stesen yang sedang menggunakan repeater, amalkan pause beberapa saat ketika bertukar giliran supaya ada peluang untuk stesen yang ingin turut serta.

Time out timer dan identifications beacon juga perlu diperhatikan supaya kita tidak tertindih dengan beacon yang sedang berbunyi. Time out timer biasanya digunakan untuk meringakan beban repeater serta mengurangkan uptime pancaran yang sudah tentu memakan bekalan kuasa sesebuah repeater. Patuhi masa yang ditetapkan supaya mesej yang hendak disampaikan tidak putus ditengah jalan.

Penggunaan CQ yang asalnya diambil dari perkataan seek you adalah kurang tepat di repeater namun ianya bukan kesalahan yang besar dan cuba elakkan. Selalunya panggilan CQ dibuat pada pengoperasian simplex, tidak kira apa jua frekuensi. HF, VHF atau UHF. Sebuah repeater selalunya berada di tempat yang tinggi, menjadi middleman di antara 2 stesen yang terhalang pada ertikata line of sight. Selalunya ada ramai pengguna yang mendengar pada frekuensi repeater. Amalkan penggunaan ayat yang ringkas dan tepat sepatutnya diamalkan supaya memudahkan perhubungan. Keep it short and simple. Sebagai contoh, "ada sesiapa di repeater ? di sini 9W2PJU" sudah memadai, terang dan jelas. Jika tiada sahutan dari stesen pendengar, sila panggil dengan maksud dan niat yang betul supaya orang mengerti yang kita sedang memanggil sebagai contoh, "Memanggil mana-mana stesen, di sini 9W2PJU standing by". Secara tak lansung prosidur ini akan melatih kita supaya membiasakan diri dalam penghantaran maklumat dan ianya sangat penting dalam komunikasi bantuan bencana atau kecemasan.

Portable, mobile dan base station adalah 3 kategori stesen radio amatur yang berbeza. Portable yang dimaksudkan bukan bermaksud stesen radio amatur itu beroperasi menggunakan portable radio seperti handytalkie. Ia bermaksud sesebuah stesen radio amatur itu sedang beroperasi di satu tempat jauh dari base station. Sebagai contoh, di dalam hutan, di atas bukit ataupun ditepi pantai. Stesen yang beroperasi di luar call area juga dikira sebagai stesen portable.

Stesen mobile bermaksud stesen yang bergerak. Tidak semestinya di atas kenderaan sahaja. Pejalan kaki juga dikira sebagai stesen mobile. Tak jadi masalah jika kita menyebut mobile ketika berjalan kaki tetapi bagi bagi stesen radio amatur diluar negara, mereka selalunya menggunakan terma yang lebih khusus ketika berjalan kaki iaitu pedestrian mobile. Jika anda tidak percaya, rujuk video klasik world of amateur radio terbitan ARRL. Untuk makluman semua, ARRL merupakan antara organisasi radio amatur yang tertua di dunia.

Base station adalah stesen radio amatur yang beroperasi di kediaman atau alamat sebenar seseorang operator radio amatur. Sebutan base station tidak diperlukan semasa beroperasi. Cukup dengan menyatakan callsign. Radio amatur yang cekap biasanya akan faham.

Kita biasa dengar ada orang menyebut mobile statik di repeater. Situasinya begini, mula masuk repeater ketika sedang bergerak di dalam satu stesen mobile dan tiba tiba berhenti di satu tempat dan menyebut mobile statik. Sebenarnya ia adalah terma yang tidak tepat. Suatu mobile station yang tidak bergerak seharusnya dipanggil sebagai stationary mobile.

Di antara stesen portable, mobile dan base station yang manakah harus diutamakan di dalam perhubungan?
Stesen portable dan mobile selalunya beroperasi dalam keadaan minimum. Kuasa pemancaran, antenna, bekalan kuasa, perlindungan, dari keadaan cuaca yang minimum. Keutamaan harus diberikan kepada stesen-stesen ini. Base station kebiasaannya mempunyai sistem antenna yang sempurna dan bekalan kuasa yang cukup untuk ke udara dalam tempoh yang panjang. Segala peralatan penguji, peralatan pembaikan, perlindungan yang sempurna dari semua jenis keadaan cuaca dan juga mempunyai sistem komunikasi alternatif lain seperti internet dan talian telefon berwayar.

Positive? Kedengaran ada beberapa stesen radio amatur yang menyebut positive bagi menyatakan suatu kepastian di dalam kenyataan atau soalan. Di dalam prosidur suara radio amatur, positive tidak menjadi amalan bagi generasi radio amatur yang terdahulu. Jika dirujuk pada senarai prowords dalam prosidur suara, terma yang paling tepat adalah affirm atau affirmative. Roger juga diterimapakai untuk menyatakan kepastian dan roger bukanlah over atau go ahead yang digunapakai untuk memberi laluan kepada stesen kedua memancar. Dalam pengoperasian CW, tiada operator yang menggunakan prosign R dihujung penghantaran.

Break dan break-break. Break adalah isyarat yang bermaksud pause atau berhenti seketika. Break digunakan untuk memberi peluang stesen kedua atau stesen lain untuk memberi respon. Break juga digunapakai dalam mod CW. Penggunaan break atau short break tak menjadi masalah jika kita inginkan respon serta merta dari stesen yang dihubungi.
Break-break atau break, break, break digunakan untuk memaklumkan mesej berkeutamaan tinggi kepada pendengar dan harus digunakan sewaktu cemas.

Repeater hendaklah digunakan dengan sewajarnya. Kurangkan penggunaan repeater jika sesebuah repeater itu beroperasi dengan bekalan kuasa bateri dan solar. Berikan peluang menggunakan repeater kepada mereka yang lebih memerlukan. Sebuah repeater menelan ribuan ringgit untuk berdiri dan beroperasi dengan cekap. Kos pelarasan dan alat ganti juga tinggi dan selalunya dibawah kawalselia komuniti atau kelab radio amatur.

Maksimumkan pengoperasian simplex. Operasi simplex nampak mudah. Jika dilihat pada keadaan mukabumi di Malaysia yang berbukit bukau, operasi simplex merupakan satu cabaran bagi jalur VHF dan UHF. High gain antenna dan kuasa pancaran yang tinggi belum mencukupi. Ada perkara lain yang harus diambil kira. Apa pun terpulang kepada individu itu sendiri.

Lihat disekeliling kita. Ambil peluang yang ada di dalam radio amatur ini untuk mengasah minda. Buka mata dan hati. Radio amatur adalah hobi saintifik. Sains adalah satu kajian mencari sebab akan terjadinya sesuatu kesan atau hasil.  Amalan orang ramai belum tentu betul dan amalan beberapa individu belum pasti salah. Kaji dan terus mengkaji.

73 de 9M2PJU

RSGB amateur radio video - a world of possibilities

21st Century Hobby video - with subtitles

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...