Popular Posts

Thursday, July 28, 2016

Ilmu Dalam Radio Amatur

Ada yang bertanyakan apa kebaikan jika berkecimpung di dalam radio amatur. Satu soalan yang agak susah untuk dijawab dan setiap jawapan mempunyai terlalu banyak huraian. Radio amatur bukanlah satu skop yang kecil. Dalam radio amatur terdapat banyak cabang yang kebanyakkan masyarakat cuma mengetahui bahawa radio amatur itu sekadar hobi menggunakan radio. Di bawah tajuk radio amatur itu sendiri ada beberapa lagi tajuk kecil dan setiap tajuk kecil ini mempunyai banyak lagi pecahan.

Majoriti di antara kita cuma lihat perkara yang tersurat dan perkara yang mudah mata melihat seperti radio amatur berbual menggunakan radio, radio amatur menggunakan kod Morse untuk berkomunikasi dan radio amatur lepak di kedai mamak membincangkan perkara-perkara yang melibatkan radio dan penggunaannya. Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang tersirat yang tidak dapat dilihat dengan sekali imbasan. Kita akan rungkai sedikit pasal radio amatur pada artikel ini.

Radio amatur adalah individu yang meminati radio, penggunaan radio, acara atau aktiviti yang melibatkan radio. Ini adalah tanggapan kasar masyarakat terhadap mereka. Tetapi hanya segelintir yang mengetahui bahawa terdapat beberapa kumpulan di dalam radio amatur seperti kumpulan peminat aktiviti outdoor dan survival, kumpulan peminat hobi eletronik dan eletrik, kumpulan pengumpul setem dan kad QSL, kumpulan peminat kod Morse dan telegrafi, kumpulan peminat pengkaji ilmu astronomi, kumpulan peminat komunikasi bantuan kecemasan dan sukarelawan bantuan amal ketika bencana, kumpulan penelaah ilmu eletrik, eletronik dan fizik dan bermacam-macam lagi kumpulan kecil di bawah tajuk radio amatur.

Radio amatur harus diketengahkan kepada masyarakat supaya ianya menjadi satu lapangan atau tempat untuk beriadah, bersosial, menerokai ilmu sains dan teknologi, ilmu berkaitan frekuensi radio, kajian berkaitan alam dan sangat bagus jika dipupuk kepada para pelajar sekolah dan juga pelajar di pusat pengajian tinggi. Tiada had umur di dalam radio amatur jika dilihat pada garis panduan untuk menduduki ujian radio amatur di Malaysia, seawal umur 14 tahun sudah boleh mendaftar untuk menduduki peperiksaan radio amatur.


Antara perkara-perkara yang kita boleh belajar dalam radio amatur adalah :-

Kejuruteraan eletrik - dalam kehidupan kita seharian, eletrik merupakan satu keperluan asas dan boleh dikatakan hampir semua rumah dan bangunan dibekalkan dengan kuasa eletrik untuk menampung kehidupan dan aktiviti. Tanpa eletrik, penyaman udara tidak dapat bekerja, tanpa eletrik lampu tidak akan menyala dan sebagaimana yang kita tahu, sumber eletrik tidak terhad kepada bekalan dari syarikat pembekal eletrik sahaja. Terdapat beberapa alternatif lain seperti solar. Bayangkan dunia tanpa bekalan eletrik.

Kejuruteraan eletronik - pada masa kini penggunaan eletronik tidak terhad kepada TV atau radio sahaja. Telefon pintar, komputer, sistem penyalaan kenderaan bermotor dan lain-lain semuanya adalah produk hasil dari kejuruteraan eletronik. Internet itu sendiri wujud hasil dari teknologi ini dan telah menjadi kegunaan harian manusia pada abad ini. Terdapat ratusan komponen eletronik yang digunakan untuk menghasilkan peralatan seperti telefon pintar, tablet atau laptop yang anda sedang gunakan sekarang.

Kejuruteraan fizik - di dalam radio amatur, ilmu fizik wujud dalam keadaan di mana ramai orang tidak sedar. Setiap perkara mempunyai teori dan amali berasaskan fizik. Cause and effect, sepertimana kajian sains, setiap perkara mempunyai sebab kenapa ianya terjadi. Mengkaji adalah satu asas dalam radio amatur di mana setiap kajian akan mematangkan individu dan boleh membantu apa yang termampu jika perlu.

Kejuruteraan sivil - operator radio amatur biasanya akan membina dan memasang antenna mereka sendiri tanpa bantuan kontraktor. Setiap struktur harus dibina mengikut kesesuaian beberapa faktor harus diambil kira seperti beban, rintangan, halangan, persekitaran dan juga cuaca. Nisbah campuran untuk menghasilkan foundation yang kukuh bagi mendirikan menara untuk antenna dan lain-lain.

Kejuruteraan mekanikal - banyak peralatan tambahan bagi kegunaan radio amatur melibatkan kejuruteraan mekanikal. Setiap pemutar antenna mempunyai beberapa komponen yang berasaskan mekanikal. Pengetahuan tentang kejuruteraan mekanikal adalah penting untuk membuat pelarasan terhadap peralatan tersebut dan juga penting jika ingin membuat sebarang pengubahsuaian.

Astronomi -  Cuaca, aktiviti matahari, persekitaran muka bumi mempengaruhi aktiviti frekuensi radio. Radio amatur harus mempunyai ilmu pengetahuan kajian alam supaya lebih faham apa kesan aktiviti alam sekitar terhadap frekuensi radio. Sebagai contoh, apa kesan aurora, lightning scatter, meteor scatter, tropospheric ducting kepada frekuensi VHF dan apa kesan sunspots cycle dan solar flux kepada frekuensi HF.

Sejarah - terdapat banyak aktiviti radio amatur yang dibuat berasaskan kepada sejarah. Sebagai contoh, aktiviti penghargaan kepada rumah api yang mana jika kita imbas kembali pada zaman dahulu rumah api merupakan petunjuk yang penting kepada kapal laut. Sejarah tentang peperangan yang pernah berlaku, terdapat beberapa callsign khas akan ke udara sempena memperingati peperangan yang telah berlaku terutama di negara-negara eropah. Sejarah kemerdekaan negara, radio amatur di Malaysia akan ke udara menggunakan callsign khas sempena hari kemerdekaan. Walau bagaimana pun, kajian terhadap teknologi penggunaan di dalam radio amatur itu sendiri banyak membawa kita kepada sejarah penemuan frekuensi, komponen eletronik, eletrik, radio dan lain-lain.

Terdapat banyak lagi yang perlu dihuraikan tetapi saya ringkaskan kepada beberapa sub tajuk yang besar sahaja. Ada banyak lagi yang boleh kita raih di dalam radio amatur ini kerana radio amatur adalah hobi yang bersifat saintifik dan juga teknikal. Di samping itu juga kita boleh bersosial, beriadah sambil menikmati alam sekitar dan juga mampu mengasah dan mengubah cara kita berfikir sebelum ini.

Apa yang penting adalah jangan kecilkan skop pemikiran kita di dalam radio amatur dan beranggapan bahawa radio amatur itu adalah hobi bercakap menggunakan radio sahaja tetapi bukalah minda dan terimalah dengan hati terbuka bahawa radio amatur itu bukanlah sekadar bercakap. Ambil peluang untuk menambah ilmu dan percayalah ianya mampu mengubah cara anda melihat setiap kejadian di muka bumi ini dan juga setiap teknologi yang ada disekeliling anda.

Bukanlah hasil atau keputusan menjadi kepentingan dalam setiap hipotesis ataupun eksperimen yang dilakukan dalam radio amatur, tetapi proses berfikir, pembacaan, rujukan, imaginasi dan usaha mampu membuat kita faham akan sesuatu kejadian. Radio amatur tidak mampu mengubah anda daripada manusia biasa menjadi seorang saintis yang boleh memberi syarahan tentang teori fizik kuantum atau teori masa dan ruang tetapi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Kekal menjadi manusia biasa ataupun menjadi manusia biasa yang tahu sedikit tentang perkara teknikal dan juga sains.

Thomas Alva Edison bukanlah seorang operator radio amatur tetapi adalah seorang inventor yang penting dalam sejarah dan beliau pernah melamar seorang wanita supaya berkahwin dengannya menggunakan kod Morse dan memberi nama gelaran DOT and DASH kepada kedua anak mereka. Zaman sudah berubah. Pada masa kini terdapat pelbagai teknologi perhubungan yang lebih canggih, namun begitu sebarang pengetahuan terhadap asas perhubungan seperti mod CW yang menggunakan kod Morse atau asas-asas lain kepada teknologi perhubungan dan sains bukanlah suatu yang tidak berguna. Penggunaan kepada sesuatu pengetahuan tidak dapat diramalkan, cuma masa dan keadaan yang akan menentukannya. Bersedia bukanlah sia-sia.


73 de 9M2PJU


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...