Popular Posts

Friday, July 22, 2016

Dunia Radio Amatur 9W dan 9M



Jika diperhatikan, masih ramai dikalangan radio amatur di Malaysia suka membeza-bezakan di antara kelas A dan kelas B, 9W dan 9M. Adakalanya sehingga memburukkan keadaan dan persekitaran yang tidak bagus tercetus sehinggakan secara tak lansung memberi satu pandangan haluan kepada mereka yang baru menceburkan diri dalam dunia radio amatur.

Kelas A dan kelas B di Malaysia dibezakan dari segi ujian radio amatur yang di ambil. Untuk mendapatkan kelas B (9W), satu ujian dipanggil radio amateur examination diperlukan dan dikehendaki lulus (50% dari jumlah 100 soalan objektif). Manakala untuk mendapatkan kelas A, seseorang itu haruslah memiliki callsign kelas B sekurangnya satu tahun dan dikehendaki lulus satu ujian amali kod Morse (12 perkataan seminit).

Kelas A mempunyai kebenaran menggunakan frekuensi radio amatur dari 0.3 MHz sehingga 2.4 GHz manakala kelas B cuma diberi 7, 28, 6, 144, dan 430 MHz. Kesemua kebenaran menggunakan frekuensi ini dapat dicapai jika seseorang itu minat dan lulus kesemua ujian tersebut. Tiada sebarang keajaiban jika kita berusaha. Tidak perlu cepat mengalah. Jika tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Tetapi, kenapa kita harus membeza-bezakan, membuat sempadan di antara kelas A dan kelas B ?

Kebolehan dan bakat seseorang tidak sama dan janganlah kita berkecil hati akan kekurangan diri. Seharusnya kita memandang dari sudut yang positif supaya kita berdaya saing demi memajukan diri dan menambah ilmu dan pengetahuan. Jangan pula kita memandang rendah kepada kelas B dan terlalu menjunjung tinggi akan kelas A. Kita tidak boleh meneka sejauh mana ilmu seseorang dan kebolehan seseorang itu melalui kelas lesen radio amatur. Ada beberapa orang kelas B yang saya kenali fasih dan berkebolehan dalam pengoperasian menggunakan kod Morse, boleh membina transceiver sendiri, fasih dan hadam akan teori radio dan frekuensi dan lain-lain.

Minat dan keghairan seseorang itu berbeza. Dunia radio amatur sangat luas. Ada yang minat buat projek eletronik, ada yang minat mengkaji dan membina antenna, ada yang minat contesting, ardf, aprs, CW, digital modes, emergency communications dan ada juga yang minat mendengar (SWL).
Tiada seorang pun role model di dalam radio amatur ini. Anda mencorakkan diri anda sendiri. Kita tidak boleh memaksa orang lain supaya menjadi seperti kita. Cuma kita boleh membantu apa yang termampu. Niat dan matlamat seseorang yang menceburi dunia radio amatur inipun berbeza. Tepuk dada, tanya diri sendiri apa kita yang mahukan.

Adalah rugi jika seseorang yang telah mendapat lesen kelas A meletakkan diri mereka di dalam zon selesa. Sesungguhnya masih banyak ilmu dan pengetahuan yang boleh diambil dalam dunia radio amatur ini. Lulus ujian amali kod Morse bukan lah titik nohtah di dalam dunia radio amatur ini. Pengalaman harus dicari dengan membuat eksplorasi, eksperimentasi dan juga melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti lain termasuk pembacaan di waktu lapang. Jangan pandang sebarang aktiviti itu mudah dan senang untuk dilakukan, tetapi lihat dari sudut minda yang kreatif supaya kita dapat mengadaptasikan kesemua ilmu dan pengetahuan ini dalam hidup kita sehari-harian.

Kreativiti boleh digunakan di dalam hobi yang unik ini. Setiap apa yang kita lihat, kita kaji dan kita olah supaya kita dapat hujung dan pangkal, kenapa mengapa dan bagaimana. Lama dan baru bukanlah alasan. Proses mengenal selalunya memakan masa yang lama. Sebagai seorang manusia, proses pembelajaran tidak akan habis. Terlalu banyak ilmu yang ada. Untuk mengkaji anatomi dan fisiologi sendiri, manusia memerlukan bertahun-tahun dan sehingga ke hari ini masih banyak lagi yang perlu dikaji. Itu adalah badan sendiri yang boleh nampak dan boleh dipegang, jika kita bicarakan tentang perkara yang tidak boleh kita nampak atau pegang, sudah tentu berkali-kali lebih susah.

Oleh itu marilah kita bersatu, mengenal sesama sendiri, buangkan sifat prejudis sesama sendiri. Radio amatur seharusnya berkongsi. Sharing is caring. Jika ke udara, kita membawa imej negara dan juga imej diri sendiri. Buka minda dan buka mata, lihat disekeliling anda. Jika ada komuniti yang perlukan anda, luangkan sedikit masa untuk mereka. Keutamaan adalah untuk diri sendiri dan juga keluarga, tetapi tidak menjadi satu kerugian jika anda meluangkan sedikit masa kepada komuniti anda jika anda berhasrat untuk kekal lama sebagai seorang operator radio amatur.

Minat dan kesungguhan juga faktor penting dalam dunia radio amatur ini. Kita tidak boleh memaksa seorang operator radio amatur kelas B untuk menduduki ujian amali kod Morse walaupun beliau seorang operator radio kapal yang cekap menggunakan kod Morse semasa bertugas. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Walaupun ada transceiver HF di rumah bersama antenna yang sempurna, faktor tugas dan keluarga juga harus diambil kira. Sesungguhnya tidak lucut gelaran seseorang operator radio amatur itu jika beliau tidak ke udara. Ada banyak lagi perkara yang boleh dibuat untuk terus kekal di dalam hobi ini.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Hormat menghormati sesama manusia. Sesungguhnya masa depan itu tidak boleh diramal.


73 de 9M2PJU

4 comments:

Ridzuan 9M2VDX said...

Thanks penulis. Nice sharing.

Unknown said...

mohon share

Unknown said...

Satu penulisan yang agak baik.. syabas.. de 9m2ooo..

Unknown said...

Noted 9w2umu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...