Total Pageviews

Popular Posts

Thursday, August 21, 2014

Tips Belajar Kod Morse Bagi Pemula

Untuk mereka yang ingin belajar kod Morse, terdapat 3 kategori kelajuan akan anda dengari apabila mula mendengar latihan kod Morse.

Pertama, kelajuan perlahan (10-12 wpm). Kelajuan ini dapat memberi keselesaan anda untuk mendengar semasa dalam latihan. Tetapi, 12 perkataan seminit (words per minutes) adalah standard untuk lulus dalam ujian amali kod Morse dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Oleh itu secara teorinya untuk lulus 12 wpm, anda haruslah berlatih mendengar dalam kelajuan 12 wpm. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kemungkinan semasa di dalam dewan ujian dimana kita tidak akan dapat mendengar kod Morse yang berkelajuan 12 wpm itu sepertimana dalam sesi latihan kita di rumah.

Kedua, Kelajuan 13-16 wpm. Kelajuan ini adalah terbaik untuk melatih diri kita supaya tidak terkejut jika ada sebarang kemungkinan kod Morse yang dihantar semasa dalam dewan ujian terlebih laju dari 12 wpm sepertimana standard dari SKMM. Bagi mereka yang ingin bermula dan berhasrat untuk mengambil ujian kod Morse di SKMM, saya sarankan mereka berlatih pada kelajuan ini. Tidak perlu laju, cukup sekadar untuk lulus.

Ketiga, kelajuan yang laju seperti 16-20 wpm. Ramai pemula tidak dapat menerima kelajuan pada peringkat ini. Kelajuan ini sangat sesuai jika anda ingin QSO dalam mod CW secara on air setelah lulus ujian kod Morse kerana majoriti stesen radio amatur berbual dalam mod CW dalam 16-20 wpm kecuali contest ataupun dxing kerana contest dan dxing memerlukan kelajuan yang lebih tinggi (30-40 wpm) demi mengejar contact sebanyak mungkin. Ini adalah kerana contest selalunya berlaku dalam masa 48 jam sahaja dan dxpedition juga berlansung dalam waktu yang singkat. Tetapi jangan risau, jika anda memanggil pada kelajuan 8-12 wpm sekalipun, operator yang beretika semestinya akan membalas panggilan anda pada kelajuan yang anda hantar. Ini adalah kerana secara teorinya, jika seseorang itu menghantar pada kelajuan 10 wpm, sudah tentu dia pun dapat menerima pada kelajuan 10 wpm.

Cara yang terbaik untuk belajar kod Morse adalah dengan permulaan yang ringkas. Tidak perlu gopoh. Cuba dengan 2 huruf untuk permulaan, gunakan software untuk menghantar kod Morse bagi 2 huruf itu secara rawak (random). Dengar dan salin. Teknik yang sesuai diperlukan untuk menyalin kod yang diterima. Anda harus mencari cara dan teknik yang anda rasakan sesuai untuk diri anda. Cari masa terluang untuk latihan ini dan jika anda sudah yakin, tambah huruf berikutnya. Jangan tambah huruf jika anda masih belum yakin. Harus diingat, latihan kod Morse adalah untuk membina reflek di dalam otak. Bukan untuk menghafal titik atau sengkang ataupun berapa kali bunyi dit dalam sesebuah huruf. Latihan kod Morse adalah satu usaha untuk menanam kesemua kod itu ke dalam otak dan proses ini perlulah berlaku dengan betul. Jika anda sudah hafal kesemua kod, cuba bereksperimen dengan kelajuan yang lebih tinggi. Jangan tingkatkan kelajuan jika anda masih belum dapat menghafal kesemua kod dalam kelajuan yang anda selesa dan kelajuan itu haruslah lebih dari 12 wpm (standard SKMM).

Stamina otak dan kemahiran mendengar sambil menulis sangat diperlukan. Kuatkan diri dan cuba elak dari berasa boring atau mual apabila mendengar bunyi kod Morse. Ini adalah penting untuk meneruskan latihan. Jika pada awalan anda sudah berasa sedikit mual, pujuk diri anda supaya tidak berputus asa. Jadikan diri anda seperti sebuah robot atau mesin yang akan bertindak jika diberi arahan semasa dalam latihan. Berlatihlah sehingga anda dapat kenal semua kod tanpa meneka. Habit meneka bagi pemula adalah sangat tidak bagus. Cuba jujur dengan diri sendiri, jika anda tidak kenal sesebuah kod, berlatihlah sehingga kenal. Pokok pangkal anda haruslah ikhlas dengan diri sendiri. Ingat, teknik belajar kod Morse yang anda rasakan sesuai untuk diri anda tidak semestinya dapat diterima oleh orang lain.

Satu pesanan yang sangat berguna dari saya kepada pemula kod Morse, belajarlah mengetuk Morse key tanpa menggunakan tangan yang anda selalu gunakan untuk menulis. Sebagai contoh, jika anda righthanded, gunakan tangan kiri untuk mengetuk kekunci Morse. Ini bertujuan untuk memberi kesenangan kepada anda untuk beroperasi dalam mod CW nanti. Saya adalah kidal yang menggunakan tangan kiri untuk menulis dan saya menggunakan tangan kanan untuk mengetuk Morse key. Cara ini saya rasakan mudah dan selesa untuk bekerja dalam mod CW dalam tempoh yang lama.




73 de 9M2PJU






No comments:

Post a Comment