Popular Posts

Sunday, August 24, 2014

Memilih Antenna

Bagi operator radio amatur, pemilihan antenna adalah penting mengikut keperluan semasa. Terdapat banyak jenis antenna yang seringkali mendapat tempat di hati operator radio amatur seluruh dunia. Dipole adalah antenna yang paling ringkas dan selalu digunakan oleh pemula radio amatur. Prestasi dipole bergantung kepada pemilihan frekuensi yang digunakan. Selalunya dipole akan bekerja dengan baik pada peringkat bawahan jaluran frekuensi tinggi ( lower HF bands ). Sebagai contoh, dipole sangat sesuai untuk frekuensi 7 MHz untuk kegunaan komunikasi kecemasan dengan teori near vertical incident skywave ( NVIS ). Teknik NVIS boleh mengurangkan skip zones atau zone langkauan dan sesuai untuk komunikasi dalam jarak 300 hingga 400 kilometer bergantung kepada ketinggian rentangan antenna dan juga elemen pemantul yang dipasang ( jika ada ). Tetapi oleh kerana sifatnya yang berkeuntungan rendah ( low gain ) maka ia kurang sesuai digunakan untuk bekerja dengan stesen yang amat jauh ( DX ) dan jarang digunakan untuk tujuan itu. Terdapat banyak variasi antenna yang menggunakan wayar sebagai elemen penradiasi. Elemen berwayar sangat ringan dan mudah dibawa. Cara pemasangan juga lebih ringkas dan boleh diubah mengikut keperluan. 

Ramai operator radio amatur memilih untuk menggunakan yagi kerana yagi merupakan antenna yang menyuluh ( beaming ) dan memiliki kadar keuntungan tinggi ( high gain ) berbanding sebuah antenna dipole. Yagi selalunya memiliki 3 elemen asas iaitu pemacu ( driven ), pemantul ( reflector ) dan juga pengarah ( director ). Elemen pemacu juga seringkali disebut sebagai radiator. Terdapat banyak variasi antenna yagi. Pelbagai cara dibuat untuk menambahkan nilai keuntungan yagi termasuk dengan menambah elemen pengarah dan juga memanjangkan elemen pemacu kepada saiz penuh gelombang frekuensi ataupun dengan menukar elemen pemacu dari sebuah dipole kepada gelung bersaiz penuh gelombang. 

Bagi operator radio amatur yang berpengalaman dan mampu, mereka selalunya memilih untuk menggunakan antenna yang lebih berkeuntungan tinggi. Sebagai contoh, 2 elemen quad memeiliki sifat keuntungan yang sama dengan 3 elemen yagi. Jadi, 3 elemen quad sudah tentu melebihi kadar keuntungan dari 3 elemen yagi. Faktor lain perlu dititikberatkan jika ingin menggunakan antenna yang bersaiz penuh seperti quad. Pemilihan boom dan saiz pole dan mask juga penting bagi mengurangkan berat dan juga kadar rintangan angin. Elemen yang digunakan juga penting. Elemen yang menggunakan wayar memiliki kadar jalurlebar radiasi yang sempit berbanding elemen tiub yang bersaiz besar. 

Banyak lagi antenna yang menarik minat para operator radio amatur dan masing masing mempunyai kekurangan dan kelebihan. Namun selalunya pemilihan antenna ini bergantung kepada operator itu sendiri, lokasi yang digunakan, kuasa pemancaran yang akan digunakan, mod pemancaran yang dipilih, harga, ketahanan dan sebagainya. 

Bagi operator yang selalu menyertai peraduan ( contest ) pemilihan antenna sangat penting bagi mereka untuk bersaing dengan stesen luar negara. Namun bagi pemula, antenna yang ringan, mudah diselenggara, berkos rendah menjadi pilihan. 

Sungguh banyak yang dapat kita ceriatakan tentang antenna, jenis antenna, bentuk antenna, kebaikan dan kekurangan dan pemilihannya. Apa yang penting dan perlu diketahui dalam pemilihan antenna adalah

1. Sifat antenna
2. Kadar keuntungan
3. Keperluan senggaraan
4. Ketahanan cuaca
5. Dan sebagainya

Bersambung...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...